Majlis Belia Malaysia (MBM)


Majlis Belia Malaysia (MBM) ialah sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan dan bergerak sebagai badan induk yang menyelaraskan pertubuhan belia dan pelajar di negara ini. Penubuhan rasmi MBM adalah pada 9 September 1950 apabila Perlembagaan MBM diterima dan Sdr. F.C Arulanandum telah terpilih sebagai Presiden MBM yang pertama. MBM telah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).

MBM juga turut diiktiraf oleh kerajaan sebagai badan induk pertubuhan belia di peringkat kebangsaan seperti dinyatakan di bawah seksyen 49 (1) Akta 668 dan ianya ditubuhkan dengan tujuan untuk mengalakkan kemajuan belia yang seimbang di semua bidang ekonomi, sosial, mental, fizikal, akhlak dan politik. Di samping itu MBM juga bertujuan untuk memupuk perasaan kebangsaan dan semangat bekerja dengan penuh dedikasi untuk kepentingan masyarakat serta negara dan dengan itu melengkapkan diri mereka agar dapat hidup sebagai warga negara yang matang, kreatif, proaktif dan bertanggungjawab.

OBJEKTIF
Objektif-objektif utama majlis ialah :

  • Menggalakkan dan mendorong pertubuhan belia supaya memainkan peranan yang positif dan berkesan kepada masyarakat dan negara.
  • Merangsang dan mewujudkan perhubungan, kerjasama, persefahaman dan persahabatan antara pertubuhan belia dengan belia atau dengan pertubuhan belia antarabangsa.
  • Menggalakkan kemajuan pertubuhan belia yang seimbang dalam pelbagai bidang.
  • Memupuk sikap bertanggungjawab, semangat patriotisme dan kesukarelawanan di kalangan pertubuhan belia.
  • Menganjurkan dan mengalakkan minat untuk kesuburan rohani, jasmani, ekonomi dan pendidikan belia di kalangan badan-badan yang mempunyai minat dalam perkara ini.
  • Bekerja rapat dengan badan-badan yang bertanggungjawab berkenaan hal ehwal belia untuk kepentingan pergerakan belia.

KEAHLIAN
Keahlian MBM adalah terbuka kepada pertubuhan-pertubuhan belia kebangsaan dan Majlis-Majlis Belia Negeri di Malaysia yang mendukung matlamat serta usaha MBM. Sesebuah pertubuhan belia kebangsaan layak menjadi badan gabungan jika ia mempunyai tidak kurang dari 20,000 ahli perseorangan dan bergerak sekurang-kurangnya di enam daripada empat belas buah negeri di Malaysia.

Pertubuhan itu juga hendaklah demokratik, dan bergerak sebagai pertubuhan sukarela, menjalankan urusan-urusan dengan berdikari dan memberikan peluang sepenuhnya kepada semua ahli untuk mengambil bahagian yang wajar dalam semua kegiatan, di samping keahlian itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia.

Sekarang ini terdapat 38 buah badan kebangsaan dan majlis belia negeri serta sebuah badan bersekutu yang bergabung dengan MBM (hampir kesemua pertubuhan belia di Malaysia) dengan jumlah ahli perseorangan tidak kurang dari 3 juta orang. Organisasi belia kebangsaan terbahagi kepada empat kategori iaitu; Organisasi Belia Biasa, Organisasi Belia Beruniform, Organisasi Belia Agama dan Organisasi Belia Pelajar.

PERHUBUNGAN
i. Hubungan dengan Kerajaan
MBM mempunyai hubungan yang erat dengan kerajaan, terutamanya melalui Kementerian Belia dan Sukan dalam hal-hal yang bersangkutan dengan belia dan gerakan belia. MBM juga turut bekerjasama dengan lain-lain agensi kerajaan samada sebagai perunding atau jawatankuasa dalam beberapa badan yang ditubuhkan oleh agensi berkenaan.

ii. Hubungan dengan lain-lain badan kerajaan
MBM saling menjalinkan hubungan baik dengan lain-lain agensi bukan kerajaan seperti Persatuan Pengguna, Alam Sekitar, PEMADAM, Pergerakan Wanita, Persatuan Kebajikan, Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia,  dan sebagainya.

iii. Hubungan dengan Pertubuhan Antarabangsa
Dalam hubungan antarabangsa, MBM mengamalkan Dasar terbuka dan liberal tetapi selari dengan Dasar Luar Negara kerajaan. MBM sentiasa memperkukuhkan hubungan antarabangsanya di samping terlibat secara aktif menyertai program-program antarabangsa yang dianjurkan. Keutamaan hubungan antarabangsa MBM ialah melalui pertubuhan peringkat sub-regional, regional dan antarabangsa lainnya. Dalam hal ini, pertubuhan-pertubuhan yang menjadi keutamaan MBM dalam Dasar Luarnya adalah CAYC, AYC, WAY dan lain-lain.

STRUKTUR
Perhimpunan Agung merupakan peringkat tertinggi dalam menentukan dasar dan pendirian Majlis, Perhimpunan yang bersidang setahun sekali ini juga bertanggungjawab memilih ahli-
ahli Jawatankuasa Kerja, menerima dan meluluskan laporan tahunan, penyata dan neraca kewangan. Setiap badan gabungan menghantar perwakilan ke Perhimpunan ini.

Di bawah Perhimpunan Agung ini terdapat Dewan Tertinggi yang dianggotai oleh Jawatankuasa Kerja MBM dan seorang wakil dari tiap-tiap badan gabungan MBM. Dewan Tertinggi adalah quasi-legistive dan bertanggungjawab menentukan dasar, pendirian serta program MBM yang tidak dapat diputuskan oleh Perhimpunan Agung. Di samping itu Dewan Tertinggi juga berkuasa memandu perjalanan Jawatankuasa Tetap dan Khas yang dilantiknya.

Kemudian terdapat pula Jawatankuasa Keja (EXCO) yang berfungsi sebagai badan petugas Majlis. Jawatankuasa Kerja yang dipilih oleh Perhimpunan Agung ini terdiri daripada seorang Presiden, seorang Timbalan Presiden, tiga orang Naib Presiden, seorang Setiausaha Agung, seorang Bendahari Kehormat, dua belas orang Ahli Jawatankuasa Kerja dan seorang wakil dari Kementerian Belia dan Sukan sebagai ex-officio. Jawatankuasa Kerja melaksanakan semua program selaras dengan dasar-dasar yang ditentukan oleh Perhimpunan Agung dan Dewan Tertinggi.

Berikut terdapat Jawatankuasa  Tetap yang bertugas dalam perkara-perkara tertentu seperti Pentadbiran, Hal Ehwal Antarabangsa, Kewangan, Penerangan, Pendidikan, Pembangunan, Perindustrian, Pertanian, Hari dan Minggu Belia Negara dan Hal Ehwal Wanita. Bagi melaksanakan tugas-tugas selain daripada  yang dinyatakan di atas, MBM telah membentuk beberapa Jawatankuasa Khas seperti Bangunan, Integrasi Nasional, Sukarelawan, Remaja, Anti Dadah dan lain-lain.

Seterusnya terdapat sekretariat yang menjalankan kerja-kerja pentadbiran, perhubungan dan perkhidmatan. Sekretariat MBM diketuai oleh Setiausaha Agung dengan dibantu seramai 8 orang kakitangan sepenuh masa.



SEJARAH
Perwakilan Belia yang bersidang pada Julai 1948 telah berbincang dan berusaha menubuhkan Majlis Belia Negeri dan Settlements. Majlis Belia Negeri Pulau Pinang dan Province Wellesley telah ditubuhkan pada 17 November 1948 dan merupakan Majlis Belia Negeri yang pertama di Tanah Melayu.

Majlis Belia Malaysia telah diiktiraf secara rasmi pada 9 September 1950 di Pulau Pinang setelah perlembagaannya diterima pakai. Mesyuarat Agung pertama telah diadakan dengan kehadiran badan-badan gabungannya iaitu Majlis Belia Negeri (Kedah, Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang), Pertubuhan Budak Pengakap, Pandu Puteri (Malaya dan Singapura) dan Persaudaraan Belia Methodist Tanah Melayu. Mesyuarat telah menerima F.C Arulanandum sebagai Presiden (Pengerusi) Majlis Belia Malaysia yang pertama. Pada tahun 1951, kerajaan telah mengiktiraf Majlis Belia Malaysia sebagai Majlis Kebangsaan bagi pertubuhan belia negara ini.

Pada peringkat awal penubuhannya, MBM tidak dapat bergerak cergas kerana kedudukan panitianya yang bertaburan, di samping masalah kewangan, pentadbiran dan tiadanya kakitangan yang tetap. Di tahap awal ini Majlis Belia Malaysia lebih cenderung berhubungan dengan WAY iaitu badan induknya dan seolah-olah kegiatan MBM ditentukan oleh WAY.

Tahap sebelum merdeka ini juga memperlihatkan MBM cuba meyakinkan pertubuhan-pertubuhan belia yang belum bergabung dengannya untuk turut serta. Kerajaan British ketika itu juga dikatakan memberi galakan kepada gerakan belia di negara ini. Pertukaran Pesuruhjaya Tinggi, Malcolm McDonald ke India pada September 1955 memberi rahmat kepada MBM.

YTM Tunku Abdul Rahman Putra selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi Penaung menggantikan beliau. Di bawah kepimpinan Tunku Abdul rahman, MBM telah diiktiraf sebagai pertubuhan koordinasi belia nasional maka MBM lebih memberikan perhatian kepada program-program nasionalnya, sedangkan sebelum ini kegiatan dengan WAY lebih diberikan penekanan. Pergerakan MBM turut menerima pengaruh peranan dalam usaha memerdekakan negara dari kuasa penjajah.

Pada tahun 1960an, MBM mula pemperlihatkan keaktifan dan sikap pro-aktif serta lantang melaungkan isu-isu pembangunan negara dan dianggap sebagai “Pejuang suara belia dan rakyat”. Majlis Belia Malaysia didaftarkan dibawah Akta Pertubuhan Bil R.R.M.65/68(8)P.P/SEL.16/68 pada 18 Jun 1968. Ia merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diktiraf sebagai Majlis Belia Kebangsaan dengan berdiri mewakili suara kepentingan belia negara.



MBM telah bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan telah diberikan slot bagi rancangan “Belia Bergerak Maju” di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Melalui program ini, pelbagai aktiviti ahli telah dihebahkan. MBM juga semakin aktif melibatkan diri dengan pertubuhan-pertubuhan belia di peringkat antarabangsa.

Tahun 1970an memperlihatkan perubahan besar dalam MBM. Desakan agar pengiktirafan diberikan oleh pihak kerajaan kepada golongan belia telah menghasilkan penubuhan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) pada tahun 1971. Penglibatan golongan pelajar dalam MBM juga telah membawa arus yang berlainan dan lebih lantang dalam menyuarakan hak rakyat dan peranan belia. Bahkan MBM sendiri hampir terkubur akibat percanggahan pendapat dan pembawaan pimpinan. Bagaimanapun krisis yang melanda pada tahun 1974/75 itu telah menjadikan MBM lebih matang dalam perjuangannya.

Tahun 1980an, kedudukan MBM kian mantap dan misi utama pergerakannya, “Belia Bertindak untuk Keadilan dan Kebenaran” telah mula dipraktikkan di dalam agenda perjuangannya. Cabaran besar dan pelbagai masalah seperti ekonomi dan pengganguran, masalah sosial (moral, akhlak, dadah dan budaya barat), salahguna kuasa dalam syarikat serta koperasi telah menuntut MBM lebih bertanggungjawab demi masa depan generasi belia negara.


MBM semakin giat dan aktif merealisasikan misi dan perjuangannya. Pelbagai seminar, bengkel dan program kerjasama telah dianjurkan sama ada dengan agensi kerajaan dan swasta dalam negeri mahupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di peringkat antarabangsa. Pemilihan YB Mohd Ali Mohd Rustam sebagai Presiden WAY di Perhimpunan Agung ke 13 Perhimpunan Belia Sedunia (WAY) di Kuala Lumpur pada tahun 1993 dan kemudiannya pemilihan YB Fuad Dato’ Hj Hassan sebagai Setiausaha Agung Majlis Belia Asia (AYC) seterusnya Mustaffa Kamil Ayub sebagai Presiden Jawatankuasa Kerjasama Belia ASEAN (CAYC) menandakan suatu pegiktirafan kepada perjuangan MBM di peringkat antarabangsa masa ini.

Era separuh pertama 1990an memperlihatkan MBM memainkan peranan lebih agresif dan tidak hanya cuba menangani isu-isu tempatan tetapi juga menjurus kepada permasalahan dunia. Corak dan kemampuan kepimpinan belia menghadapi cabaran hebat dalam era globalisasi sesungguhnya telah menjamin kejayaan MBM mempertingkat martabatnya di mata dunia. MBM sentiasa menerima dan menilai sesuatu cabaran dengan terliti bagi menjamin keseimbangan agenda perjuangan.