Dasar ingin membantu dan membangunkan 
usahawan-usahawan di seluruh negeri Selangor.


KUSEL merupakan sebuah kelab usahawan di negeri Selangor yang berada di bawah naungan YB Datok Seri Noh Bin Hj Omar. Ilham penubuhan KUSEL adalah daripada YB sendiri di atas dasar ingin membantu dan membangunkan usahawan-usahawan di seluruh negeri Selangor. Ditubuhkan pada 17hb Mac 2014 dan beralamat di Aras 5, Bangunan UMNO Selangor, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor.

VISI
Ke arah melahirkan generasi usahawan yang berilmu, berakhlak, berdaya saing dan berdaya maju yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

MISI
Mengumpulkan usahawan di seluruh negeri Selangor  di bawah satu bumbung sebagai tempat mereka mencari idea dan jaringan perniagaan, tempat rujukan dan bantuan perniagaan.

OBJEKTIF

  1. Mewujudkan ‘One Stop Centre’ bagi menyediakan pelbagai keperluan perniagaan dan prasarana seperti khidmat nasihat kewangan,teknikal, syariah dan fiqh muamalat serta bimbingan ‘Mentorship’.
  2. Menyediakan platform khususnya kepada usahawan yang baru memulakan perniagaan untuk mendalami pelbagai ilmu keusahaanan. Mereka juga boleh berkongsi maklumat, pandangan serta pengalaman sesame mereka atau daripada mereka yang lebih senior.
  3. Membina jaringan perniagaan di kalangan usahawan dan ahli kelab KUSEL
  4. Menyediakan ‘on-job-training’ kepada pejar-pelajar IPT di syarikat-syarikat yang berdaftar sebagai ahli serta dapat menjadikan usahawan sebagai satu pilihan kerjaya mereka.
  5. Melahirkan usahawan-usahawan yang berkualiti, berilmu, berdaya saing, berakhlak dan beriman demi menyumbang kepada ekonomi Negara sejajar dengan matlamat kerajaan.


KATA ALUAN DARIPADA PRESIDEN KUSEL: DATO’ MOHAMAD ZAINI BIN MD TAHA
Syukur Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW di atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk berkongsi serba sedikit maklumat dan rujukan mengenai KUSEL.

Pertama sekali, diucapkan ribuan terima kasih atas sokongan semua ahli KUSEL dan Mentor-Mentor yang terlibat dalam menjayakan misi dan visi KUSEL. Tidak dilupakan buat pencetus dan Penaung KUSEL YB Datok Seri Hj Noh Bin Hj Omar yang tidak jemu-jemu mengingatkan kita semua agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan menjaga nama baik KUSEL. Syukur sekali lagi kerana KUSEL diterima dan disukai oleh usahawan seluruh Selangor.

Sesungguhnya saya tidak layak mendidik sesiapa di sini cuma ingin berkongsi sedikit ilmu perniagaan buat manfaat kita bersama. Menerusi KUSEL juga saya akan membawa kita mendalami nilai-nilai murni yang sepatutnya diaplikasikan bagi membantu orang lain. Kita di dalam KUSEL seperti satu keluarga besar. Saya yakin kita pasti berjaya, tenang dan harmoni jika kita ikhlas melakukan apa sahaja.

Selaku Presiden KUSEL dan ketua dalam organisasi saya menyeru agar kita semua amalkan Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakal sebagai pegangan hidup. Ingat, “Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya tetapi hamba-hambaNya yang menzalimi diri mereka sendiri.” Saya doakan agar terus maju jaya dan dapat menggabungkan usahawan seluruh Selangor di bawah satu bumbung iaitu KUSEL. Sekian, terima kasih.

PROGRAM MENTOR MENTEE
Antara program utama KUSEL adalah mengadakan Program Mentor Mentee. Program ini bertujuan melahirkan seramai 500 usahawan yang mempunyai kedai di bawah label KUSEL di setiap daerah di negeri Selangor. Jangkamasa yang diperlukan adalah selama tiga tahun bagi merealisasikan matlamat ini. Setiap Mentor akan membimbing minimum 10 Mentee di bawah pengawasan mereka selama tiga tahun tersebut.