Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)


YADIM ialah sebuah badan amanah yang ditubuhkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Hussin, YAB Perdana Menteri Malaysia yang kedua pada 1 Muharam 1394, iaitu 25 Januari 1974 yang bertujuan menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar berjalan seiring dan sejajar dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.

YADIM ialah sebuah badan amanah yang didaftarkan di bawah Trust Incorporation Ordinance 1952 yang bertanggungjawab secara langsung kepada YAB Perdana Menteri. Pengurusan YADIM bermula dengan Yang Dipertuanya yang pertamanya, iaitu Allahyarham Tan Sri Datuk Syed Nasir bin Ismail (Tun) dan diikuti oleh beberapa orang Yang Dipertua yang berkaliber, iaitu Allahyarham YBhg. Dato’ Seri Hj. Kamaruddin bin Hj. Mohd. Isa, YB. Dato’ Dr. Mohd Yusof bin Noor (Tan Sri), YBhg. Allahyarham Tan Sri Dato’ Ainuddin bin Abdul Wahid, YBhg. Dato’ Dusuki bin Hj. Ahmad, YB. Dato’ Dr. Abdul Hamid bin Othman (Tan Sri), YBhg. Datuk Hj. Mohd. Nakhaie bin Hj. Ahmad, YBhg Datuk Dr Hj. Aziz Jamaludin bin Mhd Tahir dan YB. Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B). Buat masa ini YADIM diterajui oleh YBhg. Dr Yusri Mohamad

Setiap Yang Dipertua mempunyai idea, pendekatan visi dan misi yang tersendiri dalam menjadikan YADIM rakan pembinaan negara yang sentiasa mahu bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kebaikan dan masa depan agama, ummah dan negara.

FUNGSI TERAS
1. Menyelaras kegiatan dakwah Islam
2. Menyelaras kegiatan dakwah Islam melalui pendekatan sosial
3. Melahirkan pendakwah Islam berpengetahuan dan berkemahiran

Sejak YADIM telah diperkenalkan kepada dunia luar, YADIM telah mengembangkan operasinya ke serata pelosok dunia dan ini adalah di antara pencapaian-pencapaian yang telah dilaksanakan:
YADIM telah mencapai pensijilan ISO 9001:2008 pada 8 Jan 2009 dan ini kerana komitemen dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh tenaga kerja YADIM daripada semua peringkat dan semua jabatan.

Menganjurkan aktiviti-aktiviti bertaraf Antarabangsa seperti Multaqa Ulama Sedunia (2003), Alumni Al-Azhar (2003) dan Seminar Ahli Sunnah Waljamaah (2005). YADIM telah berjaya mengusahakan program-program dakwah dan kemasyarakatan seperti Program Ibu Mithali dan Bulan Dakwah.

Telah berjaya menjalankan Konvoi Jelajah Kebangsaan 2010/ Jelajah Kembara YADIM 1Malaysia yang mernagkumi Malaysia, Indonesia, Myanmar, India, Pakistan dan Jordan.
YADIM juga telah terlibat dalam Malaysian International Halal Seminar & Exhibition (MIHAS) (2003).

YADIM telah menganjurkan Program Dakwah Negara dengan pelaksanaan 35 program yang bertumpu di Universiti Kebangsaan Malaysia (2014). Antara program yang dimuatkan adalah Kongres NGO Islam, Konvensyen Muamalah, Bicara Sakinah, Ijtimak Ahlu Sunnah wal Jamaah, Muzakarah Jenayah Syariah dan Konvensyen Kepimpinan.

Yadim telah menggerakkan tugas-tugas menyelaras kegiatan dakwah Islam dengan mengadakan Siri-siri Bengkel Pelan Strategik Dakwah termasuk aktiviti dakwah di Sabah dan Sarawak.

Pada tahun 2014, Anugerah Keluarga Mithali telah dianjurkan dengan memberi pengiktirafan kepada para ibu melalui Anugerah Ibu Mithali, bapa melalui Anugerah Bapa Mithali, golongan muda dengan Anugerah Pewaris Harapan dan seterusnya Anugerah Keluarga Mithali.

YADIM telah mewujudkan Felo Dakwah YADIM sebagai usaha memantapkan lagi kegiatan dakwah di Malaysia. Felo Dakwah yang dilantik terdiri daripada golongan profesional, akademik dan aktivis masyarakat yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Sehingga hari ini, seramai 13 orang Felo Dakwah telah bersama YADIM termasuk Prof Muhaya Mohamad, Ustazah Nik Salida Suhaila dan Dr. Zaharuddin Abd Rahman.

YADIM juga telah menjalin sinergi bersama Ikon Dakwah YADIM yang terdiri daripada golongan selebriti yang mempunyai imej dakwah dan boleh menarik minat masyarakat khususnya generasi muda. Antara mereka adalah Heliza Helmi, Amin Idris dan Diana Amir.

Usaha melahirkan pendakwah Islam muda yang berpengetahuan dan berkemahiran telah dirancakkan dengan pelbagai program seperti Jejak Menara, Nadwah QiYADI, Kem Daie Muda Matrikulasi, Kem QiYADI, Jelajah Ilmu Mahasiswa Luar Negara dan Felo Muda Dakwah YADIM.

Buat julung kalinya, YADIM telah menganjurkan Majlis Anugerah Dakwah Negara yang mengiktiraf golongan pendakwah. Enam kategori anugerah yang disediakan adalah Anugerah Pendakwah Negara, Anugerah Pendakwah Wanita, Anugerah Pendakwah NGO, Anugerah Pendakwah Saudara Kita, Anugreha Pendakwah Seni Hiburan dan Anugerah Pendakwah Muda.


PROGRAM DAKWAH NEGARA
Penganjuran Bulan Dakwah telah mula diadakan pada tahun 1978. Kemudiannya dihidupkan kembali pada tahun 2009, di mana Majlis Perasmian Bulan Dakwah Kebangsaan pada 19 Februari 2009 telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Penganjuran ini telah diadakan di seluruh negara, di mana program-program yang dijalankan turut melibatkan kerjasama erat YADIM dan agensi-agensi kerajaan, jabatan-jabatan agama Islam negeri, agensi swasta, badan korporat dan masyarakat awam di semua peringkat.

Selaku salah sebuah agensi yang bertanggungjawab menyelaraskan kegiatan dakwah di negara ini, YADIM mengambil inisiatif sekali lagi menganjurkan Bulan Dakwah tetapi telah dijenamakan dengan menggunakan nama Program Dakwah Negara pada tahun 2014. Kemuncaknya adalah Temasya Muamalah Islam yang akan diadakan dari 29 Mei hingga 1 Jun 2014 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia.

YADIM telah menggariskan beberapa objektif penting penganjuran Program Dakwah Negara 2014 :
Mendidik ummah agar sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Menyemarakkan semangat dakwah di kalangan pemimpin-pemimpin masyarakat, organisasi-organisasi Islam dan masyarakat umum.

Memberikan kesedaran kepentingan kesatuan sesama ummah di negara ini.
Menarik minat golongan non-Muslim dari kalangan masyarakat orang asli, bumiputera Sabah dan Sarawak dan kaum-kaum lain yang masih belum menerima hidayah.

Yadim anjur Temasya Muamalah Islam
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan Temasya Muamalah Islam sempena Program Dakwah Negara 2014 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi bermula 28 Mei hingga 1 Jun 2014 ini.

Yang Dipertua Yadim, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, temasya itu yang merupakan kemuncak Program Dakwah Negara 2014, akan dipenuhi dengan pelbagai program berbentuk ilmiah, sukan, hiburan, kekeluargaan dan keusahawanan.

“Temasya ini dijangkakan mampu menarik 100,000 orang untuk berkunjung ke tapak pesta. Ini kerana selain 151 gerai jualan dan pameran, pelbagai program akan diadakan sepanjang temasya ini diadakan,’’

Dalam majlis hari ini, turut diadakan adalah penyampaian cek-cek penajaan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) kepada Yadim.

Dr. Asyraf Wajdi menjelaskan, Program Dakwah Negara 2014 telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-raja, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi penaung kepada program berkenaan.

Beliau berkata, antara program-program utama sepanjang temasya ini diadakan termasuk Majlis Anugerah Keluarg Mithali, Sidang Kemuncak Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam, Ijtimak Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah,  Konvensyen Kepimpinan Muda Islam, Konvensyen Muamalah Islam serta Malam Puisi Dakwah Wasatiyyah dan Malam Jasamu Dikenang.

Selain itu, menurutnya, program lain termasuk Bicara Sakinah, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Program Transformasi Diri, Pentas Deklamator Islam, Forum Haji Perdana, 24Hours Da’wah, Qiamulail Perdana, Sukan Harmoni, Pertandingan Debat Dakwah Negara, Pertandingan Lagu-lagu Dakwah, Malam Ekspresi Cinta Allah dan Rasul dan banyak lagi.