Showing posts with label Usahawan. Show all posts
Showing posts with label Usahawan. Show all posts
Dasar ingin membantu dan membangunkan 
usahawan-usahawan di seluruh negeri Selangor.


KUSEL merupakan sebuah kelab usahawan di negeri Selangor yang berada di bawah naungan YB Datok Seri Noh Bin Hj Omar. Ilham penubuhan KUSEL adalah daripada YB sendiri di atas dasar ingin membantu dan membangunkan usahawan-usahawan di seluruh negeri Selangor. Ditubuhkan pada 17hb Mac 2014 dan beralamat di Aras 5, Bangunan UMNO Selangor, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor.

VISI
Ke arah melahirkan generasi usahawan yang berilmu, berakhlak, berdaya saing dan berdaya maju yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

MISI
Mengumpulkan usahawan di seluruh negeri Selangor  di bawah satu bumbung sebagai tempat mereka mencari idea dan jaringan perniagaan, tempat rujukan dan bantuan perniagaan.

OBJEKTIF

  1. Mewujudkan ‘One Stop Centre’ bagi menyediakan pelbagai keperluan perniagaan dan prasarana seperti khidmat nasihat kewangan,teknikal, syariah dan fiqh muamalat serta bimbingan ‘Mentorship’.
  2. Menyediakan platform khususnya kepada usahawan yang baru memulakan perniagaan untuk mendalami pelbagai ilmu keusahaanan. Mereka juga boleh berkongsi maklumat, pandangan serta pengalaman sesame mereka atau daripada mereka yang lebih senior.
  3. Membina jaringan perniagaan di kalangan usahawan dan ahli kelab KUSEL
  4. Menyediakan ‘on-job-training’ kepada pejar-pelajar IPT di syarikat-syarikat yang berdaftar sebagai ahli serta dapat menjadikan usahawan sebagai satu pilihan kerjaya mereka.
  5. Melahirkan usahawan-usahawan yang berkualiti, berilmu, berdaya saing, berakhlak dan beriman demi menyumbang kepada ekonomi Negara sejajar dengan matlamat kerajaan.


KATA ALUAN DARIPADA PRESIDEN KUSEL: DATO’ MOHAMAD ZAINI BIN MD TAHA
Syukur Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW di atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk berkongsi serba sedikit maklumat dan rujukan mengenai KUSEL.

Pertama sekali, diucapkan ribuan terima kasih atas sokongan semua ahli KUSEL dan Mentor-Mentor yang terlibat dalam menjayakan misi dan visi KUSEL. Tidak dilupakan buat pencetus dan Penaung KUSEL YB Datok Seri Hj Noh Bin Hj Omar yang tidak jemu-jemu mengingatkan kita semua agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan menjaga nama baik KUSEL. Syukur sekali lagi kerana KUSEL diterima dan disukai oleh usahawan seluruh Selangor.

Sesungguhnya saya tidak layak mendidik sesiapa di sini cuma ingin berkongsi sedikit ilmu perniagaan buat manfaat kita bersama. Menerusi KUSEL juga saya akan membawa kita mendalami nilai-nilai murni yang sepatutnya diaplikasikan bagi membantu orang lain. Kita di dalam KUSEL seperti satu keluarga besar. Saya yakin kita pasti berjaya, tenang dan harmoni jika kita ikhlas melakukan apa sahaja.

Selaku Presiden KUSEL dan ketua dalam organisasi saya menyeru agar kita semua amalkan Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakal sebagai pegangan hidup. Ingat, “Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya tetapi hamba-hambaNya yang menzalimi diri mereka sendiri.” Saya doakan agar terus maju jaya dan dapat menggabungkan usahawan seluruh Selangor di bawah satu bumbung iaitu KUSEL. Sekian, terima kasih.

PROGRAM MENTOR MENTEE
Antara program utama KUSEL adalah mengadakan Program Mentor Mentee. Program ini bertujuan melahirkan seramai 500 usahawan yang mempunyai kedai di bawah label KUSEL di setiap daerah di negeri Selangor. Jangkamasa yang diperlukan adalah selama tiga tahun bagi merealisasikan matlamat ini. Setiap Mentor akan membimbing minimum 10 Mentee di bawah pengawasan mereka selama tiga tahun tersebut.

Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM)


Persatuan Usahawan Internet Malaysia atau PUIM dan juga dikenali sebagai Malaysia Internet Entrepreneur Association (MIEA) merupakan badan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan dijalankan bawah Akta Pertubuhan 1965 pada 15 Oktober 2011 yang didaftarkan dibawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 dan bernombor pendaftaran 4405-11-WKL.

PUIM merupakan pertubuhan peringkat kebangsaan, dimana semua ahli warganegara Malaysia boleh menyertainya. Adalah seperti diketahui umum pengguna Internet diseluruh dunia adalah 50% pengguna bawah 30 tahun dan hampir 17 Juta pengguna di Malaysia, sekaligus ini memberi kesan pelbagai aspek positif dan negatif. Secara ringkasnya penguasaan generasi Y semakin mendominasi ruang tara perniagaan Internet dunia.

Banyak isu penipuan, salah tanggapan, kekeliruan penjualan seperti maklumat produk, penyalahgunaan psikologi pemasaran, maklumat dan konsultansi tidak tepat oleh syarikat tertentu dalam pemasaran Internet turut meruncingkan lagi industri Perniagaan Internet di Malaysia khususnya. Lebih teruk lagi, penguasaan ekonomi masih lagi rendah dikalangan Melayu dan peluang Perniagaan Internet adalah besar, dan terdapat hanya 38.1% penjual di Internet dan hanya 2% perniagaan konvensional menggunakan teknologi ini. Ini adalah amat menyedihkan sama sekali.

Dan paling mengejutkan juga, perlaksaan dan penyelesaian berkaitan teknologi dan Perniagaan Internet oleh kerajaan langsung tidak mengambil kira mereka yang berada dalam Industri Perniagaan Internet ini sekian lama. Isu kritikal yang diperincikan dalam simfoni penubuhan ialah:Meningkatkan taraf ekonomi Melayu dari 1% ke 5% dalam bidang teknologi dan pemasaran melalui Internet.

Memberi ruang baru selain Multi-Level Marketing dan Insurans kepada ruang Perniagaan Internet.
Mengurangkan masalah pelaburan haram, penipuan, dan penyalahgunaan maklumat dalam bentuk mengelirukan pengguna Internet dalam apa jua bentuk kaedah pemasaran dan jualan. Membuka ruang yang betul untuk peniaga konvensional menggunakan teknologi Internet untuk meningkatkan dan mengembangkan perniagaan mereka. Menjadi badan kerjasama untuk memastikan sebarang perlaksanaan kerajaan berkaitan Industri Perniagaan Internet tempatan selaras dengan pemacu industri ini.

OBJEKTIF
Tujuan penubuhan adalah untuk membina, membentuk, dan menjalankan aktiviti yang boleh mengembangkan perniagaan offline ke online, serta menggalakkan perkembangan perniagaan online kepada masyarakat Malaysia khususnya. Matlamat untuk jangkamasa panjang ialah mendukung perniagaan yang dikenalpasti untuk lebih maju dan berdaya saing. Jadi boleh disimpulkan iaitu PUIM juga melakukan kempen kesedaran teknologi dan panduan yang betul supaya tidak menyalahgunakan teknologi ini.

Selama beberapa tahun lepas, banyak kekeliruan timbul mengenai perniagaan Internet. Terdapat pelaburan haram, program skim cepat kaya, penyalahgunaan fakta, manipulasi gambar dan sebagainya mendorong PUIM untuk turut serta memberi pendidikan sebenar bagaimana perniagaan Internet dilakukan. Fokus dasar PUIM yang juga terkandung misi dan visi untuk 3 tahun pertama ialah: Membantu individu yang mahu mendapatkan pendapatan melalui perniagaan Internet fokus kepada generasi–Y, seperti pelajar akhir tahun dan mereka yang masih menganggur.

Menyediakan peluang dan platform perniagaan kepada mereka yang bekerja dan ingin mendapatkan pendapatan sampingan atau ingin berhenti kerja dan memerlukan sokongan, panduan dan jalan untuk menjalankan perniagaan. Membina platform yang telus untuk memastikan perniagaan dijalankan dengan tepat, baik, dan berkesan serta tidak menyalahi undang-undang negara.

Bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam ETP dalam kluster ICT dan Elektrik. Membuka direktori ahli untuk perniagaan online dan offline bekerjasama dalam kos yang lebih efektif. Menjalankan aktiviti kesedaran perniagaan Internet dengan mengadakan perbincangan, seminar, latihan, bantuan info digital yang berkait dengan perniagaan online.


PROGRAM
Matlamat PUIM ialah selaras dengan fokus misi dan visi iaitu menggalakan dan membantu gen-y khususnya untuk menjalankan perniagaan melalui Internet. Semua peserta akan dibawa kepada beberapa siri program atau pemantauan yang sesuai dengan mereka. Contohnya jika peserta sudah ada produk atau servis, sistem untuk memasarkan produk akan dibekalkan dan akan memasuki kursus atau bengkel bagaimana memasarkan produk mereka secara atas talian. Jika peserta yang tiada produk pula akan diberi sistem dan produk , mereka akan diajar untuk memasarkan produk menggunakan kaedah percuma seperti penggunaan media sosial dan berbayar mengikut tahap dan kemampuan masing-masing.

Seterusnya, semua akan dikumpulkan dalam beberapa aktiviti yang lebih besar untuk tujuan membina jaringan usahasama antara ahli PUIM. Matlamat ini diterjemahkan pencapaiannya melaui aktiviti yang dianjurkan persatuan iaitu ‘MiS’, ‘MiM’, ‘Konvensyen’ dan ‘Gathering’.

MiS
Mini Seminar (MiS) dianjurkan oleh pihak PUIM secara berkala kepada semua ahli PUIM dengan objektif pendedahan kepada peserta komponen asas dalam perniagaan online. Peserta akan didedahkan dengan 12 slot yang berbeza terdiri dari komponen perniagaan Internet yang telah dilakukan dan mempunyai hasil oleh penceramah yang berpengalaman.

MiM
Malaysia Internet Millionaires (MiM) adalah program dwi tahunan yang diadakan 2 kali setahun.
Program ini mengumpulkan penceramah yang mempunyai rekod pencapaian terbaik dalam industri perniagaan internet tempatan bagi memberikan motivasi dan inspirasi kepada semua usahawan dan bakal usahawan internet. Dengan tema ‘Next Level’ dan ‘Thinking Big’ akan memberikan peserta satu dimensi pemikiran yang sangat positif dalam menjana pendapatan secara online.

Konvensyen
Acara tahunan yang mengumpulkan komuniti usahawan internet bagi membincangkan perkembangan dan strategi terkini perniagaan internet di Malaysia. Tanda aras (standard) perniagaan internet akan ditentukan melalui resolusi hasil konvensyen tahunan ini. ‘Business Matching’ menjadi agenda utama Konvensyen yang pastinya akan membuka peluang usahasama antara ahli PUIM untuk bergerak lebih laju.

Gathering
Aktiviti santai yang dianjurkan untuk merapatkan hubungan interaksi antara ahli PUIM yang lazimnya berinteraksi secara online. Mengumpulkan ahli PUIM dalam perjumpaan begini akan mengeratkan usahasama disamping membuka lebih peluang kerjasama sesame ahli PUIM.


PERKHIDMATAN
Menyediakan tenaga pengajar untuk topik-topik dalam perniagaan dan pemasaran Internet kepada institusi pengajian, badan-badan berdaftar dan kumpulan rangkaian perniagaan.

Pemasaran & Perniagaan Internet (Internet Marketing) 
Perkhidmatan dan konsultasi berkenaan internet marketing yang merangkumi topik seperti emel marketing, salesletter, affiliate, Ebay dan dropshipping, blogging dan ebook.

Pemasaran Media Sosial
Perkhidmatan dan konsultasi berkenaan pemasaran menerusi social media seperti Facebook, Twitter, Youtube dan seangkatan dengannya.

Pembangunan Laman Web
Pihak PUIM juga membekalkan servis pembangunan website khasnya website korporat, e-commerce dan minisite., web yang melibatkan sistem data entri, dan juga website maintenance dan security guard.

Pendaftaran Domain & Hosting
Pihak PUIM membekalkan servis pendaftaran domain name dan hosting bagi usahawan yang
memerlukannya. Ianya diperlukan bagi usahawan yang ingin mewujudkan website.
Creeper Creative Sdn. Bhd.


Ingin keluar dari zon selesa membuatkan Mohd Fadzil Arifin menceburi bidang bisnes, sebelum ini kerjayanya adalah dalam bidang  grafik, namun sejak tahun 2008 dia membuka syarikat menghasilkan tempahan pakaian seragam dan kemeja korporat  jenamanya sendiri.

Kini ketua pegawai eksekutif (CEO)  Creeper Creative Sdn.Bhd yang berwawasan tinggi ini mahu memartabat dan memperkenalkan jenama kemeja korperat buatan Bumiputera di pasaran global.

“Keputusan saya beralih bidang kerjaya ini adalah untuk melihat sama ada saya boleh berubah daripada makan gaji ke satu bidang di mana saya mengeluarkan gaji kepada orang lain dan saya menentukan nasib saya sendiri. Begitu juga arah tuju bisnes atau mana-mana organisasi yang saya pandu.”

“Semasa mula-mula menceburkan diri dalam bidang ini, bermacam pekerjaan saya buat, dari membantu rakan buat majlis korperat hinggalah kerja printing dan pengiklanan saya lakukan. Jadi sebagai usahawan saya sendiri menyahut cabaran tersebut keluar dari zon selesa cuba membina kerjaya selain membuat perbezaan dalam masyarakat,” Katanya. Jelas anak Felda Jengka 8 ini, keputusan berhenti kerja sebagai pereka grafik adalah tepat dan memulakan perniagaan dari bawah secara keci-kecilan, malah keputusan yang dibuat memenuhi cita dan naluri kehendaknya.

“Saya nampak satu produk yang boleh buat orang percaya dan berkualiti malah yakin dengan rekaan saya buat orang selesa memakainya. Jadi apabila saya menceburi bidang ini saya mendapati ada potensi bukan sahaja tahan lama di pasaran tetapi potensi berkembang lebih dari yang ada sekarang, itu yang membuatkan saya berani mencebur dalam bisnes ini,” katanya.

CCSB adalah syarikat bumiputera, syarikat ini ditubuhkan pada tahun 2008 dengan bantuan modal dari Fama dan modal sendiri tanpa pinjaman bank. Syarikat ini menghasilkan pelbagai jenis uniform berkualiti dengan gaya rekaan  terkini yang selesa dipakai, termasuk reka bentuk kemeja korporat dan cenderahati untuk tempahan.   

TEMBUSI PASARAN GOBAL
Jelas pemuda yang berusia 33 tahun ini, syarikatnya mementingkan penjagaan mutu material kain dan jahitan yang kemas adalah berlainan dengan syarikat yang menghasilkan baju  yang sama termasuk dari segi rekaan. Sebab itu jenama syarikat miliknya dapat tembusi pasaran global.

“Sejak menceburi bidang bisnes ini, jenama saya telah menembusi pasaran antarabangsa seperti London, Perancis, Brunie, Singapura, Mesir dan Dubai. Saya juga ada menerima tempahan dari syarikat korporat tempatan.” 

“Baju ini saya reka sendiri fesyen dan bentuknya, kualiti mutu memang terjamin, saya juga sering mendapat maklum balas daripada pelanggan, apabila ada masalah memang saya periksa dari segi kualiti dan saya bantu mereka.”

“Bagi yang pernah menempah pakaian seragam atau kemeja korporat dengan syarikat ini mereka akan puas hati dengan perkhidmatan saya, malah saya adalah antara perintis yang terawal menggunakan pentas website untuk memperkenalkan keluaran jenama syarikat ini di mata dunia,” katanya.

Menurut Fadzil lagi, dia sangat menitik beratkan hunbungan baiknya dengan pelanggan. Hubungan baik dengan pelanggan adalah sangat penting ketika memberi khidmat terbaik kepada mereka.

“Apabila melihat pelanggan menghargai apa yang kita berikan, ia bagaikan satu kepuasan untuk diri saya kerana saya menghargai permintaan mereka.” Tambahnya, perniagaan menggunakan website ini telah menonjolkan nama syarikatnya,malah tidak menggunakan wang yang banyak untuk menaikkan nama syarikat. Cukuplah sekadar kemudahan internet untuk mempopularkan produk yang ingin dijual.

“Ada orang selesa berniaga secara terus dengan pelanggan, ada juga peniaga yang gemar berurusan melalui internet, kedua-duanya menguntungkan dan terserah cara anda untuk memilihnya, melalui internet memberi seribu peluang kepada sesiapa yang tahu akan kebaikan dan sebaliknya,” katanya bahawa syarikat miliknya termasuk antara senarai carian popular untuk tempahan kemeja korporat termasuk untuk pasaran global.


PERSAINGAN DAN CABARAN 
Fadzil mengakui untuk menghasil dan memasarkan produk jenamanya dia menghadapi pelbagai cabaran. Cabaran yang paling getir adalah mendapatkan kepercayaan orang menggunakan jenama Bumiputera yang berkualiti, ini kerana ramai yang menyamakan harga yang tinggi dengan syarikat bukan bumiputera dan jenama saya ini adalah mampu milik dan tahan lama.

“Proses menghasilkan rekaan pakaian terbaru juga adalah satu cabaran yang perlu dihadapi kerana terpaksa bersaing dengan syarikat lain, kerana setiap rekaan yang saya buat pasti ada yang meniru dan menawarkan  pada harga yang lebih rendah tanpa jaminan kualiti. Cabaran lain adalah terus memberi khidmat serta tindakan susulan walaupun pelanggan kami semakin ramai,” ujarnya yang merupakan pemegang Ijazah Pengurusan Teknologi dari Universiti Teknologi Malaysia Skudai ini.

“Cabaran kedua, adalah menyakinkan dan mendidik pelanggan agar jangan ambil jalan pintas untuk menempah produk yang murah jika tidak tahu kualitinya nanti kita sendiri yang rugi,”



TERUS BERJUANG
Selaku pemilik syarikat CCSB, Fadzil merangka satu strategi untuk memastikan kelangsungan operasi perniagaannya bertahan lama. “Semasa memulakan perniagaan, saya masih mula merangkak dan banyak lagi perlu belajar untuk terus maju. Namun kini, saya memastikan perancangan perniagaan dibuat dengan teliti, memberikan jangkaan sejauh mana nak pergi dan lebih berhati-hati dalam membuat segala keputusan,” ujarnya.

Siapa sangka anak kampung berasal dari Pahang ini mampu mengemudi perniagaan sendiri.Ada teladan yang boleh dipelari daripada cerita pemuda ini sudah tentu tiada siapa yang boleh mengubah nasib seseorang melainkan diri mereka sendiri yang mampu mengubahnya.

“Harapan saya adalah kumpulan yang bekerjasama dengan saya berjaya, saya mahu melihat mereka yang berkolaborasi dengan saya berjaya, apabila berjaya mereka boleh menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat. Anak muda perlu beringat untuk berjaya perlu bertungkus lumus dengan bidang yang mereka buat, jangan mudah putus asa,” katanya lagi.