Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA)


Kepimpinan Presiden PESAKA telah beralih kepada YAB Dato´ Seri Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, semasa Sidang Agung PESAKA pada tahun 2009. Beliau mempunyai misi dan visi yang jelas. Beliau berusaha mendirikan sebuah Kompleks Silat bernama GERBANG PERSILATAN SEDUNIA di Perkampungan Hang Tuah seluas 20 ekar di Sungai Duyong, Mukim Duyong, Melaka. Tempat tersebut, mempunyai lima buah gelanggang kecil iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Gelanggang utama mampu menampung seramai 3,000 orang pesilat dalam satu masa.\

Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) telah ditubuhkan pada 24hb. September 1983, dalam usaha mewujudkan satu organisasi Persilatan di Malaysia pada ketika itu terdapat 4 pertubuhan Peringkat Malaysia iaitu Seni Silat Lincah Malaysia, Silat Seni Gayong Malaysia, Seni Gayung Fatani Malaysia dan Seni Silat Cekak Malaysia beserta 16 buah PESAKA Negeri (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah, Labuan dan Putrajaya) yang bergabung. Kini dianggarkan seramai 4 juta ahli-ahli silat di seluruh Malaysia.

SILAT SENI BUDAYA & WARISAN
Silat Seni Budaya dan Warisan bermaksud silat yang wujud, diwarisi dan dikembangkan dengan
kepelbagaian keaslian gerak, teknik dan unsur-unsur mengikut aliran perguruan masing-masing.

SILAT OLAHRAGA
Silat Olahraga bermaksud silat yang diolah untuk dijadikan sebagai sukan dan dipertandingkan. Sukan Silat Olahraga mempunyai system dan silibus mengikut kaedah-kaedah dan peraturan tertentu yang telah ditetap dan diseragamkan bagi tujuan pertandingan. Sukan ini juga diwujudkan bagi memenuhi kriteria dan konsep kesukanan agar penyertaannya lebih menyeluruh tanpa mengira ras, jantina, bangsa, agama dan Negara.


FALSAFAH YANG DI BAWA DALAM BENTUK ORGANISASI SILAT.
• Membentuk individu yang berdisplin.
• Membentuk individu yang taat kepada ketua dan organisasi.
• Membentuk individu yang sabar tetapi gigih serta budi perketi yang berteraskan budaya bangsa.
• Membina rasa tanggung jawab.
• Memperkukuhkan persaudaraan.
• Mempertahankan kebenaran.
• Menjadi senjata yang berkesan untuk mempertahankan diri.
• Membentuk semangat jati diri menjaga maruah negara.

USAHA PENUBUHAN MAJLIS SENI SILAT MALAYSIA
Pada 6hb, Februari 1978, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia (KKBS) telah mengadakan satu pertemuan antara empat pertubuhan silat iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Silat Seni Gayung Malaysia, Seni Silat Lincah Malaysia dan Seni Silat Cekak Malaysia yang bertujuan untuk menyusun usaha ke arah menubuhkan organisasi silat di Malaysia yang dinamakan Majlis Seni Silat Malaysia.

Majlis membuat keputusan menerima dasar bagi menentukan konsep dan struktur organisasi silat yang boleh menerima faedah kepada silat, rakyat dan negara. Mesyuarat menerima konsep mewujudkan organisasi silat di peringkat negeri-negeri yang disediakan oleh Bahagian Kebudayaan KKBSM. Dalam kertas kerja KKBSM bertajuk “Seni Silat Ke Arah Menubuhkan Majlis Seni Silat Malaysia Dan Persatuan Seni Silat Negeri” yang mewakili persatuan-persatuan silat peringkat negeri menyebutkan bahawa,

Mengikut data pada tahun 1975 (KKBS), jenis dan kumpulan silat dalam tiap-tiap negeri di Malaysia lebih kurang 464 kumpulan silat yang merangkumi 265 jenis dan dianggarkan lebih daripada 100,000 orang ahli terdapat di ceruk rantau negara ini. Sehingga 1977 tiada satu perancangan khas bagi pergerakan aktiviti silat dalam di setiap negeri tersebut, melainkan atas usaha persatuan atau pertubuhan silat sendiri. Pendirian KKBS ketika itu mengiktiraf semua jenis silat tanpa mengira jenis dan sifatnya serta menyokong segala kegiatan persatuan-persatuan silat selagi memberi manfaat kepada masyarakat, tidak bertentangan dengan dasar dan undang-undang.

Bagi memudahkan pentadbiran dan pengurusan silat satu definisi silat disyorkan dalam kertas kerja itu iaitu mana-mana silat, gayung atau seni bela diri orang Melayu yang mempunyai sifat-sifat fizikal ke arah pembangunan otot yang terdiri dari gerak dan langkah yang memberi tujuan kepantasan, kekuatan kemahiran koordinasi gerak maksud mempertahankan diri sama ada dengan menggunakan muzik atau tidak dalam latihan, bersenjata atau tidak, bercorak silat pulut, pukulan atau mempunyai latihan jasmani secara body-contact atau tidak insentif dalam latihan.

Dari pendapat umum melalui perbualan dan ucapan-ucapan rasmi para menteri dan pembesar Negara di majlis-majlis mengenai silat menyatakan perlunya ditubuhkan satu badan yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal silat. Silat Melayu boleh mencapai taraf antarabangsa sekiranya ada usaha bersama dari persatuan-persatuan silat Melayu. Selama ini silat berjaya menawan golongan yang dianggap hampas masyarakat atau belia yang rosak jiwa atau liar yang sukar lentur meninggalkan tabiat-tabiat yang tercela seperti gejala sosial. Silat dapat mendidik jiwa anak-anak muda.

Daripada jumlah keanggotaan silat pada ketika itu sudah cukup kuat untuk membangunkan semangat berdikari di bidang ekonomi yang kukuh. Silat harus bersikap bertanggungjawab mengukuhkan keselamatan dalaman Negara dengan menyekat pengaruh negatif atau musuh yang sentiasa mencari peluang untuk memecahkan perpaduan Negara, menjatuhkan maruah bangsa, agama dan Negara. Penubuhan Majlis Seni Silat Malaysia adalah bertujuan ke arah menentukan perlaksanaan dasar dan penyelarasan silat melalui satu badan gabungan yang menjaga serta mengawal kepentingan silat. Di samping mewujudkan satu keadaan yang sihat di kalangan kepelbagaian jenis dan sifat silat.


PENUBUHAN PESAKA MALAYSIA
Hasrat menubuhkan Majlis Seni Silat Malaysia telah diketepikan dan ditukarkan kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA Malaysia). Pertukaran nama tersebut adalah kesan pengaruh penubuhan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) pada 24hb. September 1979 yang mengiktiraf Malaysia sebagai anggota pendiri PERSILAT di mana Malaysia, Singapura, dan Brunei merupakan Negara yang banyak terdapat aliran pencak silat yang mempunyai asal usul dan badan induk di Indonesia.

Bagaimanapun Malaysia tetap dianggap sebagai Negara pewaris silat. Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA Malaysia) telah ditubuhkan pada 24hb. September 1983 dan disahkan pendaftarannya pada 21hb. Mei 1986. Tujuannya secara ringkas ialah untuk membangunkan,
meningkatkan, menyatu-padukan dan mengeratkan hubungan semua badan silat, memperjuangkan, memelihara dan mempertahankan silat sebagai seni budaya Malaysia.

Memimpin dan menanamkan semangat waja ke arah masyarakat yang sihat, bersatu, bermuafakat dan berbudi luhur. Mewakili perguruan silat dengan kerajaan, badan-badan antarabangsa yang bersangkut paut dengan kepentingan silat. Matlamat ialah silat sebagai keagungan dan asas ketahanan nasional yang kukuh dengan ahli-ahlinya yang bermaruah, bersatu padu, sihat dan berdisiplin. Silat telah disatukan di bawah satu organisasi peringkat kebangsaan dengan empat perguruan diiktiraf sebagai badan pendiri iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Silat Seni Gayung Malaysia, Seni Silat Cekak Malaysia dan Seni Silat Lincah Malaysia. Silat yang berada di peringkat negeri menjadi ahli PESAKA Negeri.

Atas sebab di Malaysia terdapat banyak aliran perguruan jenis pencak silat yang mempunyai badan induk di Indonesia, maka PESAKA Malaysia dengan rasminya diiktiraf sebagai menganggotai pendiri Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) yang berdaftar pada ditubuhkan 11hb. Mac 1980 di Jakarta Indonesia. Aktiviti Silat telah dibahagikan kepada 3 bidang yang masing masing mempunyai tujuan dan kumpulan sasar yang ada perbezaannya.


SILAT BERUNSURKAN BUDAYA
Memperkenalkan budaya silat di Malaysia ini kepada Antarabangsa. Di peringkat Negara silat dikembangkan ke segenap lapisan masyarakat sesuai dengan falsafah Malaysia Berbudaya. Mengekal dan menerapkan unsur unsur silat kepada pendukung aktiviti khususnya golongan belia bermula dari remaja sehinggalah dewasa dalam usaha membina masyarakat progresif.

Silat Berunsurkan Rekreasi
Merupakan satu aktiviti riadah dan juga kecergasan sesuai dengan falsafah Malaysia cergas. Silat ditonjolkan sebagai aktiviti masa lapang di samping bermotifkan unsur-unsur beladiri. Silat Berunsurkan Pertandingan Menjadikan aktiviti pencak silat dalam bentuk pertandingan seperti Silat Olahraga dan Silat Seni di peringkat Negara serta Antarabangsa. Antara pertandingan sukan di Arena Antarabangsa ialah Sukan SEA dan akan direalisasikan Pertandingan Pencak Silat di Sukan Asia.

Silat Sebagai “Warisan Negara” YAB Dato´ Seri Utama Hj. Mohamad Bin Hasan, selaku Pemangku Presiden PESAKA merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan pada tahun 2006, telah berjaya mengadakan Konvensyen Silat Kebangsaan di Glory Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 3 & 4 hb Disember 2006. Hampir 2,000 warga silat hadir menyertai program tersebut. Ketika itulah, silat telah diwartakan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Bin Yatim sebagai “WARISAN NEGARA”.