Creeper Creative Sdn. Bhd.


Ingin keluar dari zon selesa membuatkan Mohd Fadzil Arifin menceburi bidang bisnes, sebelum ini kerjayanya adalah dalam bidang  grafik, namun sejak tahun 2008 dia membuka syarikat menghasilkan tempahan pakaian seragam dan kemeja korporat  jenamanya sendiri.

Kini ketua pegawai eksekutif (CEO)  Creeper Creative Sdn.Bhd yang berwawasan tinggi ini mahu memartabat dan memperkenalkan jenama kemeja korperat buatan Bumiputera di pasaran global.

“Keputusan saya beralih bidang kerjaya ini adalah untuk melihat sama ada saya boleh berubah daripada makan gaji ke satu bidang di mana saya mengeluarkan gaji kepada orang lain dan saya menentukan nasib saya sendiri. Begitu juga arah tuju bisnes atau mana-mana organisasi yang saya pandu.”

“Semasa mula-mula menceburkan diri dalam bidang ini, bermacam pekerjaan saya buat, dari membantu rakan buat majlis korperat hinggalah kerja printing dan pengiklanan saya lakukan. Jadi sebagai usahawan saya sendiri menyahut cabaran tersebut keluar dari zon selesa cuba membina kerjaya selain membuat perbezaan dalam masyarakat,” Katanya. Jelas anak Felda Jengka 8 ini, keputusan berhenti kerja sebagai pereka grafik adalah tepat dan memulakan perniagaan dari bawah secara keci-kecilan, malah keputusan yang dibuat memenuhi cita dan naluri kehendaknya.

“Saya nampak satu produk yang boleh buat orang percaya dan berkualiti malah yakin dengan rekaan saya buat orang selesa memakainya. Jadi apabila saya menceburi bidang ini saya mendapati ada potensi bukan sahaja tahan lama di pasaran tetapi potensi berkembang lebih dari yang ada sekarang, itu yang membuatkan saya berani mencebur dalam bisnes ini,” katanya.

CCSB adalah syarikat bumiputera, syarikat ini ditubuhkan pada tahun 2008 dengan bantuan modal dari Fama dan modal sendiri tanpa pinjaman bank. Syarikat ini menghasilkan pelbagai jenis uniform berkualiti dengan gaya rekaan  terkini yang selesa dipakai, termasuk reka bentuk kemeja korporat dan cenderahati untuk tempahan.   

TEMBUSI PASARAN GOBAL
Jelas pemuda yang berusia 33 tahun ini, syarikatnya mementingkan penjagaan mutu material kain dan jahitan yang kemas adalah berlainan dengan syarikat yang menghasilkan baju  yang sama termasuk dari segi rekaan. Sebab itu jenama syarikat miliknya dapat tembusi pasaran global.

“Sejak menceburi bidang bisnes ini, jenama saya telah menembusi pasaran antarabangsa seperti London, Perancis, Brunie, Singapura, Mesir dan Dubai. Saya juga ada menerima tempahan dari syarikat korporat tempatan.” 

“Baju ini saya reka sendiri fesyen dan bentuknya, kualiti mutu memang terjamin, saya juga sering mendapat maklum balas daripada pelanggan, apabila ada masalah memang saya periksa dari segi kualiti dan saya bantu mereka.”

“Bagi yang pernah menempah pakaian seragam atau kemeja korporat dengan syarikat ini mereka akan puas hati dengan perkhidmatan saya, malah saya adalah antara perintis yang terawal menggunakan pentas website untuk memperkenalkan keluaran jenama syarikat ini di mata dunia,” katanya.

Menurut Fadzil lagi, dia sangat menitik beratkan hunbungan baiknya dengan pelanggan. Hubungan baik dengan pelanggan adalah sangat penting ketika memberi khidmat terbaik kepada mereka.

“Apabila melihat pelanggan menghargai apa yang kita berikan, ia bagaikan satu kepuasan untuk diri saya kerana saya menghargai permintaan mereka.” Tambahnya, perniagaan menggunakan website ini telah menonjolkan nama syarikatnya,malah tidak menggunakan wang yang banyak untuk menaikkan nama syarikat. Cukuplah sekadar kemudahan internet untuk mempopularkan produk yang ingin dijual.

“Ada orang selesa berniaga secara terus dengan pelanggan, ada juga peniaga yang gemar berurusan melalui internet, kedua-duanya menguntungkan dan terserah cara anda untuk memilihnya, melalui internet memberi seribu peluang kepada sesiapa yang tahu akan kebaikan dan sebaliknya,” katanya bahawa syarikat miliknya termasuk antara senarai carian popular untuk tempahan kemeja korporat termasuk untuk pasaran global.


PERSAINGAN DAN CABARAN 
Fadzil mengakui untuk menghasil dan memasarkan produk jenamanya dia menghadapi pelbagai cabaran. Cabaran yang paling getir adalah mendapatkan kepercayaan orang menggunakan jenama Bumiputera yang berkualiti, ini kerana ramai yang menyamakan harga yang tinggi dengan syarikat bukan bumiputera dan jenama saya ini adalah mampu milik dan tahan lama.

“Proses menghasilkan rekaan pakaian terbaru juga adalah satu cabaran yang perlu dihadapi kerana terpaksa bersaing dengan syarikat lain, kerana setiap rekaan yang saya buat pasti ada yang meniru dan menawarkan  pada harga yang lebih rendah tanpa jaminan kualiti. Cabaran lain adalah terus memberi khidmat serta tindakan susulan walaupun pelanggan kami semakin ramai,” ujarnya yang merupakan pemegang Ijazah Pengurusan Teknologi dari Universiti Teknologi Malaysia Skudai ini.

“Cabaran kedua, adalah menyakinkan dan mendidik pelanggan agar jangan ambil jalan pintas untuk menempah produk yang murah jika tidak tahu kualitinya nanti kita sendiri yang rugi,”



TERUS BERJUANG
Selaku pemilik syarikat CCSB, Fadzil merangka satu strategi untuk memastikan kelangsungan operasi perniagaannya bertahan lama. “Semasa memulakan perniagaan, saya masih mula merangkak dan banyak lagi perlu belajar untuk terus maju. Namun kini, saya memastikan perancangan perniagaan dibuat dengan teliti, memberikan jangkaan sejauh mana nak pergi dan lebih berhati-hati dalam membuat segala keputusan,” ujarnya.

Siapa sangka anak kampung berasal dari Pahang ini mampu mengemudi perniagaan sendiri.Ada teladan yang boleh dipelari daripada cerita pemuda ini sudah tentu tiada siapa yang boleh mengubah nasib seseorang melainkan diri mereka sendiri yang mampu mengubahnya.

“Harapan saya adalah kumpulan yang bekerjasama dengan saya berjaya, saya mahu melihat mereka yang berkolaborasi dengan saya berjaya, apabila berjaya mereka boleh menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat. Anak muda perlu beringat untuk berjaya perlu bertungkus lumus dengan bidang yang mereka buat, jangan mudah putus asa,” katanya lagi.