Pertubuhan Amal Pendidikan dan Pembangunan Insan Malaysia (PERAPIM)


Pertubuhan Amal Pendidikan dan Pembangunan Insan Malaysia (PERAPIM) adalah sebuah badan NGO (badan bukan kerajaan) peringkat Kebangsaan mengikut akta pertubuhan 1966 peraturan-peraturan pertubuhan 1984 (peraturan 5) dengan nombor sijil pendaftaran PPM-020-10-08072015. Pertubuhan ini telah diluluskan pendaftaran secara rasminya pada 8 Julai 2015.Cogan kata “Transformasi Insan Pemangkin Kecemerlangan. PERAPIM ditubuhkan dengan matlamat menjadi“ rakan masyarakat” dalam membantu negara mencapai aspirasi negara khususnya melalui bidang pendidikan dan pembangunan insan.Logo PERAPIM secara rasminya lebih bercirikan nilai kemelayuan sebagai “trademark” bersesuaian dengan nilai dan norma masyarakat kita di Malaysia ini. Gambaran kedua tangan yang terbuka membawa pengertian melindungi, memelihara, menjaga serta menaungi ahli masyarakat tanpa mengira bangsa dan pembangunan insan yang rapi dan terancang. 

Gambaran bumi atau glob yang berada ditengah-tengah antara kedua-dua tangan bermaksud kehidupan manusia sejagat sama- sama berperanan dan bertanggungjawab bagi memastikan keamanan, kedamaian dan kesejahteraan kehidupan manusia dengan berteraskan pendidikan dan pembangunan kemanusiaan. 

Seterusnya, gambaran kedua orang yang berpimpinan tangan melambangkan sikap prihatin, bertanggungjawab, bersatu hati serta sikap rakyat saling bantu membantu dalam hidup bermasyarakat.Selain itu, lambang keris yang bersilang melambangkan sebuah negara yang berdaulat serta semangat dan jati diri yang kuat dan kukuh dalam setiap jiiwa rakyat dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan negara. Manakala, cogankata “Transformasi Insan Pemangkin Kecemerlangan” bermaksud kepentingan nilai ilmu dan jati diri dari segenap jiwa rakyat dan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama dalam meneruskan kelangsungan hidup dalam menuju arus perubahan zaman di samping mengekalkan nilai murni dengan iltizam yang teguh bagi memacu pembangunan negara untuk mencapai Wawasan 2020.  

Bersesuaian dengan nama pertubuhannnya; PERAPIM berdiri dalam masyarakat untuk menyampaikan wadah dalam bentuk pendidikan dan membangunkan jiwa masyarakat. PERAPIM yakin dan percaya dengan penubuhannya, pertubuhan ini mampu mendekatkan diri dalam masyarakat dan menjadi pendamping kepada ahli masyarakat dalam pembentukan unsur yang cukup halus dan unik iaitu pendidikan. Melalui pendidikan dan pembentukan jati diri masyarakat merupakan satu agenda utama dalam membentuk perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat

Walaupun usia penubuhannya masih baru, namun PERAPIM yakin dan mampu untuk berdiri dan menjadi pendamping kepada masyarakat. Bersesuaian dengan namanya; PERAPIM ini ditubuhkan bertujuan membentuk pelbagai lapisan masyarakat tidak kira dari segi agama dan bangsa dari segi pembentukan sahsiah dan jati diri.


Bersandarkan kepada kecintaannya kepada masyarakat. PERAPIM ini diasaskan oleh En. Sabri b. Mat Dilu yang banyak berpengalaman dalam bidang kemasyarakatan. Berlatar belakangkan sebagai seorang motivator di dalam syarikat motivasi miliknya iaitu Iltizam Gemilang Sdn. Bhd, I Smart Insan Resources dan Global Excellent Ventures. Justeru, bidang pembangunan insan dan pendidikan sudah sinonim dengan jiwanya. 

Pengalamannya pernah menganjurkan lebih 360 siri ceramah dan program motivasi baik untuk golongan murid sekolah rendah dan menengah,pelajar IPTA, IPTS dan Kolej- Kolej Swasta, sehinggalah menganjurkan dan mengendalikan program ke peringkat pekerja- pekerja di sektor kerajaan mahupun swasta. 

Jiwanya yang begitu sebati sebagai aktivis dalam masyarakat telah berkecimpung dalam bidang kemasyarakatan ini semenjak dari era 80-an lagi sehingga kini  Maka dengan itu, En. Sabri b. Mat Dilu mengorak langkah setapak lagi ke depan dengan menubuhkan pertubuhan bagi memantapkan lagi matlamat dan perjuangannya selama ini sebagai “pendidik” dan “pendamping” dalam masyarakat. Hasratnya yang cukup murni akan terus dilaksanakan dengan penubuhan PERAPIM ini.

Matlamat penubuhan PERAPIM sebagaimana yang telah termaktub dalam pendaftaran pertubuhan (mengikut fasal 3: tujuan/ matlamat) adalah bertujuan menjadikan sebuah pertubuhan yang dapat memberikan khidmat dalam bentuk pendidikan dan pembangunan insane dan sumbangan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum sesuai dengan nama pertubuhan. 


Melaksanakan pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan dan pembangunan insane dan program yang berfaedah serta memberikan manfaat selaras dengan aspirasi dan kehendak kerajaan mengikut undang- undang dan perlembagaan yang termaktub demi pembangunan, keharmonian kesejahteraan khususnya bagi seluruh rakyat Malaysia. 

Memberikan khidmat bakti kepada golongan pelajar dari semua peringkat sehingga ke peringkat university dalam bentuk pembangunan insan seperti khidmat kaunseling, motivasi dan jati diri.Untuk perancangan jangka panjang mewujudkan penempatan atau kompleks yang berbentuk kebajikan seperti pembangunan rumah anak- anak yatim, sekolah tahfiz dan lain- lain selaras dengan piagam dan undang- undang serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Melaksanakan kerja- kerja amal dan program yang bersesuaian mengikut keadaan semasa seperti program kembaraan kenderaan bermotor serta aturcara yang memberikan faedah dan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum, bermatlamatkan kehidupan sejahtera dan harmoni. Memberikan khidmat bakti atau sumbangan bakti dalam apa jua keadaan dan pada bila- bila masa bagi membantu sekiranya diperlukan dalam situasi yang agak kritikal, contohnya sekiranya terjadi perkara- perkara yang berkaitan kes bencana alam, malapetaka dan sebagainya 


Selain itu, gabungan yang mantap dari semua AJK Pelaksana telah memantapkan lagi penubuhan PERAPIM ini. Perancangan yang sistematik dan teratur  telah di susun atur dalam merancang pelbagai program yang berbentuk pendidikan dan pembangunan insan untuk setiap lapisan masyarakat. PERAPIM telah menyusun atur pelbagai program yang berkait rapat dengan masyarakat yang menjurus kepada pendidikan dan pembangunan insan. Antara program yang bakal dilaksanakan dalam masa yang terdekat ini; PERAPIM bakal menganjurkan program seminar sehari secara bersiri iaitu “Remaja Kembali Sujud”. Program ini lebih menekankan pembangunan jiwa dan mlelahirkan keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Dalam perancangan jangka panjangnya, PERAPIM berhasrat dan bercita- cita untuk membentuk sebuah kompleks Sekolah Tahfiz yang lengkap dengan kemudahan insfrastruktur yang canggih dan selesa kepada penghuninya. Selain itu, sekolah tahfiz yang bakal diwujudkan ini bakal membantu para pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajarannya. 

Kompleks sekolah tahfiz ini juga bakal membimbing para pelajarnya dalam bidang pembangunan ekonomi dan kemahiran khususnya bidang perniagaan dengan memberi ruang- ruang kiosk bagi pelajarnya menjana pendapatannya sendiri. Diharap dengan cita- cita dan iltizam yang dibina ini, PERAPIM mampu membantu membangun dan membentuk sahsiah dan jati diri masyarakat; bersesuaian dengan matlamat penubuhannya.